Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mendedahkan orang besi Alaves, Facundo Garces tidak sabar untuk kembali pada kem seterusnya pada Oktober ini.
Hal ini dikongsikan beliau semasa menjadi tetamu program Bola Itu Life baru-baru ini.
Cklamovski mengakui kagum dengan semangat yang ditampilkan Garces ketika membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Atas sebab itu, bekas jurulatih FC Tokyo itu melihat pemain kelahiran Santa Fe itu sebagai inspirasi kepada pemain-pemain lain.
“Awal pagi ini, beliau berbalas mesej dengan sebahagian staf (dan) berbicara tentang kem tatkala membuat persiapan untuk kelabnya (Alaves).
“Dan beliau tidak sabar untuk kembali pada Oktober. Saya bangga mewakili Malaysia dan beliau memiliki hubungan dengan negara yang membangkitkan perasaan istimewa ketika bermain seperti semua pemain lain.
“Perasaan bangganya mewakili Malaysia ialah satu inspirasi (yang seronok) untuk dilihat dan ia satu perasaan yang bagus,” katanya.
Sejak menerima panggilan menyertai Harimau Malaya pada Jun lalu, Garces sudah merekodkan dua penampilan di peringkat antarabangsa.
Khidmatnya dijangka ditagih untuk dua aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada Oktober ini. Malaysia dijadual bertemu Laos di Vientiane pada 9 Oktober ini.
Ini disusuli aksi timbal balik di Malaysia pada 14 Oktober ini. Seandainya skuad negara memenangi kedua-dua perlawanan tersebut, anak buah Cklamovski mencerahkan peluang layak ke Piala Asia 2027.