Pertahanan Harimau Malaya, Facundo Garces terus pamer aksi konsisten dalam saingan LaLiga walaupun kelab beliau, Alaves tewas tipis kepada Real Betis pada awal pagi Sabtu.
Alaves turun dalam perlawanan kedua LaLiga bagi musim ini selepas berjaya meraih kemenangan dalam aksi pembukaan minggu lalu ketika menumpaskan Levante dengan keputusan 2-1.
Nama pertahanan kacukan Malaysia, Facundo Garces sekali lagi menjadi pilihan pengurus Alaves, Eduardo Coudet untuk berada dalam kesebelasan utama pada aksi menentang Real Betis ini.
Real Betis yang dibarisi bintang-bintang ternama antaranya Marc Bartra, Hector Bellerin dan Pablo Fornals turun selaku pasukan pilihan berbanding Alaves pada aksi di Estadio de la Cartuja.
Walaupun begitu, Alaves tetap bermain cemerlang memberi cabaran sengit kepada naib juara UEFA Conference League itu sebelum akur kalah 0-1 hasil jaringan bekas pemain PSG, Giovani Lo Celso.
Di sebalik kekalahan tipis ini, Facundo Garces dilihat beraksi cemerlang bersama rakan sepasukan mengekang beberapa asakan Real Betis hingga menyukarkan tuan rumah meledak gol tambahan.
Pemain Harimau Malaya itu menerima penilaian 6.9 daripada laman Sofascore, ketiga tertinggi bagi pasukan Alaves selain penjaga gawang, Antonio Sivera dan juga pertahanan kanan, Jonny Otto.
Statistik akhir turut menyaksikan Garces beraksi cemerlang menghadang satu percubaan lawan dan membuat pintasan bola selain melakukan 4 terjahan bagi mempertahankan kubu Alaves.
Sepanjang tempoh 90 minit permainan juga, Garces berjaya melengkapkan 92% hantaran tepat ke arah rakan sepasukan dan ini membuktikan peranan pentingnya dalam merencana serangan dari bawah.
Ketinggian yang dimiliki juga memberikan kelebihan kepada Garces bagi memenangi dua pertarungan bola di udara dan perebutan bola di atas padang pula dimenanginya sebanyak 4 kali.

Kekalahan 1-0 ini meletakkan Facundo Garces dan Alaves kini berada di kedudukan ke-9 LaLiga dan aksi seterusnya bakal menyaksikan mereka berdepan Atletico Madrid pada 30 Ogos.