Bekas bek tengah kebangsaan, Fadhli Shas mengambil keputusan untuk menggantung but.
Keputusan itu diumumkan beliau menerusi satu kenyataan di Instagram. Fadhli merasakan ini masa yang tepat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada arena bola sepak.
“18 tahun berlari di padang, jatuh bangun, pahit manis yang membentuk siapa saya hari ini. Alhamdulillah atas setiap rezeki daripada-Nya.
“Setiap cabaran menjadikan saya lebih kuat, setiap detik membentuk saya menjadi insan yang lebih baik. Terima kasih kepada semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” katanya.
Sepanjang kariernya, Fadhli pernah mewakili Harimau Muda, Zlate Moravce, Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United FC dan Sri Pahang FC.
Selepas menyertai JDT, beliau meraih pelbagai trofi seperti Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih, Piala AFC dan MFL Challenge Cup.
Fadhli turut merekodkan lebih 50 penampilan bersama Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Antara pencapaian beliau ialah pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013 dan juara ASEAN Championship 2010.