Pemain tengah PDRM FC, Fadi Awad mengakui khidmatnya diburu beberapa kelab Liga Super dan luar negara.
Sejak menyertai PDRM pada 2023, pemain tengah Jordan berusia 32 tahun itu sentiasa menjadi pilihan untuk mengemudi jentera tengah pasukan itu.
Ini terbukti apabila beliau merekodkan 61 penampilan, tiga gol dan satu bantuan gol bersama The Cops setakat ini.
Meskipun begitu, PDRM antara dua kelab yang dikenakan denda RM70,000 dan sekatan perpindahan untuk tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M).
Hukuman itu dijatuhkan First Instance Body (FIB) selepas pengurusan The Cops gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pasukan itu.
Ini mengundang spekulasi beberapa tonggak PDRM bakal meninggalkan pasukan itu dalam tetingkap kedua perpindahan yang bermula pada Januari 2026.
Apabila diminta mengulas tentang perkara itu, Fadi mengakui khidmatnya diintai enam buah kelab. Tiga daripadanya merupakan kelab Liga Super.
“Saya ada terima beberapa tawaran tapi belum 100%. Tiga (kelab) dari luar Malaysia dan tiga lagi dari Malaysia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Selain PDRM, Fadi pernah beraksi untuk Al-Wehdat, Al-Tadamon, Al-Jalil, Mansheyat dan Al-Sheikh.