Faisal Halim Pintas Rekod 3 Legenda Malaysia
MakanBola
Malaysia NT

Pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim memintas rekod gol tiga legenda negara dalam aksi menentang Nepal.

Faisal masuk sebagai pemain gantian pada babak pertama sebagai pengganti Arif Aiman Hanapi. Ini selepas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengalami kecederaan pada minit kesembilan.

Faisal terus membuktikan dirinya makin berbisa apabila meledakkan gol kemenangan buat Harimau Malaya pada separuh masa kedua.

Gol tersebut bukan saja membawa Malaysia kekal sebagai pendahulu Kumpulan F dengan 15 mata. Malah, gol itu membantu Faisal memintas rekod gol tiga legenda Harimau Malaya.

Tiga legenda yang dimaksudkan ialah Arthur Koh, Azman Adnan dan Indra Putra Mahayuddin. Faisal kini memiliki 18 gol dengan Arthur, Azman dan Indra berkongsi 17 gol.

Ini berdasarkan statistik gol pemain Harimau Malaya di peringkat antarabangsa yang disediakan Rec.Sport.Soccer Statistics Foundation (RSSSF).

Pemain sayap Selangor FC itu berkongsi statistik gol itu dengan bekas penyerang kebangsaan, Rusdi Suparman. Semasa mewakili Harimau Malaya dari 1999 hingga 2001, Rusdi meledakkan 18 gol.

Statistik terbaru ini turut menyaksikan Faisal semakin menghampiri rekod Safawi Rasid. Bintang KL City FC itu merekodkan 22 gol di peringkat antarabangsa.