Bekas kapten Perak FC, Luciano Guaycochea mengakui faktor Bojan Hodak mendorong beliau memilih Persib Bandung untuk musim 2025/26.
Hal ini dinyatakan beliau dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam baru-baru ini.
Selepas tidak lagi bersama The Bos Gaurus pada akhir musim 2024/25, sepupu kepada bintang Liverpool, Alexis MacAllister itu dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa pasukan Liga Super.
Walau bagaimanapun, Guaycochea memilih berkelana ke Indonesia selepas mendapat tahu Hodak berminat mendapatkan khidmatnya.
“Sejak saya mendapat tahu (minat) dari Coach Bojan (Hodak), saya putuskan untuk datang ke sini,” kata pemain tengah berusia 33 tahun itu.
“Beliau menyakinkan saya (dan) terangkan cara permainan bola sepak di sini (Persib) serta cara dia melatih kelab. Dua kali berturut-turut bergelar juara (liga).”
Guaycochea bukan satu-satunya bekas bintang Liga Malaysia (Liga M) yang memilih menyertai Pangeran Biru. Beliau turut disertai bekas pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani.
Kedua-duanya bakal mengetuai cabaran Persib dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 dalam Kumpulan G. Pangeran Biru akan berdepan cabaran naib juara ACL2 musim lalu, Lion City Sailors (LCS), Selangor FC dan Bangkok United.
Persib bakal membuka cabaran kumpulan dengan menentang LCS di Stadium Gelora Bandung Lautan Api pada 18 September.