FAM: Gambaran Ini Tidak Tepat & Tidak Adil
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyifatkan kesimpulan FIFA di sebalik keputusan menghukum badan induk itu dan tujuh pemain warisan negara sebagai tidak tepat dan tidak adil.

Hal ini digariskan FAM menerusi satu kenyataan yang disiarkan di platform rasmi badan induk itu pada malam 6 Oktober lalu.

Ini selepas FIFA mengumumkan sebab di sebalik keputusan jawatankuasa disiplin badan induk itu menjatuhkan hukuman berat kepada FAM dan tujuh pemain warisan negara.

Susulan pendedahan sebab keputusan tersebut, FAM memandang serius beberapa kesimpulan yang dibuat Jawatankuasa Disiplin FIFA termasuk membabitkan dakwaan isu pemalsuan dokumen.

“FAM memandang serius beberapa kesimpulan, khususnya dakwaan bahawa para pemain “memperoleh dokumen yang dipalsukan” atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan. FAM menegaskan bahawa tiada sebarang bukti yang menyokong dakwaan ini telah dikemukakan oleh FIFA.

“Segala dokumentasi dan penyerahan berkaitan kelayakan pemain telah disediakan, disahkan, dan diuruskan sepenuhnya oleh FAM mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Pada setiap masa, para pemain bertindak dengan penuh niat baik, bergantung sepenuhnya kepada proses pengesahan dan pendaftaran yang dijalankan oleh FAM,” kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

FAM turut menegaskan gambaran tersebut sebagai tidak tepat dan tidak adil buat badan induk itu dan tujuh pemain berkenaan.

“FAM berpendapat bahawa gambaran ini adalah tidak tepat serta tidak adil, dan perkara ini akan dibangkitkan secara menyeluruh melalui proses rayuan rasmi.

“FAM kekal komited untuk mempertahankan kepentingan bola sepak negara, melindungi hak para pemain, serta memastikan proses ini berjalan dengan telus dan mengikut peraturan.

“FAM akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada untuk memperjuangkan kes ini,” ujarnya lagi.

FAM kini diberi tempoh tiga hari untuk menjawab sebab yang dikemukakan di sebalik keputusan yang dibuat Jawatankuasa Disiplin FIFA.

Setelah itu, mereka diberi tempoh lima hari berikutnya untuk menghantar rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.