FAM Hantar Rayuan Kepada FIFA
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal melakukan rayuan kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).

Pada Jumaat, peminat bola sepak negara dikejutkan dengan berita hukuman yang dikenakan oleh FIFA kepada FAM serta 7 pemain warisan yang menyarung jersi Malaysia baru-baru ini.

7 pemain warisan tersebut adalah Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan juga Hector Hevel Serrano.

Hukuman tersebut dikenakan selepas pihak FIFA mendapati Malaysia telah melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen melibatkan 7 pemain negara ini ketika aksi bertemu Vietnam pada Mei lalu.

Oleh yang demikian, FAM telah diarahkan untuk membayar denda berupa wang ringgit sebanyak CHF 350,000, sekitar RM1.8 juta kepada pihak FIFA di atas kesalahan yang telah didakwa.

Manakala, 7 pemain ini pula diarahkan membayar denda CHF 2,000 (RM10 ribu) serta digantung selama 12 bulan daripada segala aktiviti membabitkan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh pemberitahuan keputusan ini.

Lantaran itu, FAM dalam satu kenyataan tidak lama kemudian mengesahkan telah menerima serta akan menghantar rayuan kepada pihak FIFA berkaitan isu pemalsuan dokumen pemain warisan.

Badan induk bola sepak negara itu juga menegaskan bahawa 7 pemain Harimau Malaya ini dan FAM sendiri telah bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses ini.

Segala dokumentasi dan prosedur berkaitan telah diuruskan telus mengikut garis panduan yang digariskan dan FIFA telah meneliti kelayakan pemain ini dan memberikan pengesahan rasmi bahawa mereka layak untuk beraksi mewakili Malaysia.

Sebarang perkembangan lanjut mengenai proses rayuan dan langkah susulan oleh FAM akan diumumkan kepada peminat dari semasa ke semasa.

Untuk makluman, FIFA memberikan tempoh 10 hari kepada Malaysia bagi mengemukakan permintaan keputusan beralasan dan keputusan ini masih tertakluk kepada kemungkinan rayuan di hadapan Jawatankuasa Rayuan FIFA.