FAM Hubungi Calon Pemain Warisan Baharu Malaysia
MakanBola
Instagram/nashadulco

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mula mengorak langkah dengan menghubungi calon pemain wanita warisan baharu negara, Nasha Nur Aini Abdul Wahab.

Sebelum ini, akaun Women Football Malaysia dan Harimau Abroad melaporkan bakat Nasha sebagai prospek baharu Malayan Tigress.

Pemain berusia 14 tahun itu kini mewakili skuad remaja wanita Royale Union Saint-Gilloise di Belgium.

Ayah Nasha juga merupakan jurulatih elit di kelab berkenaan dan dilaporkan berasal dari Johor. Ini sekaligus membolehkan beliau tampil menyarung jersi skuad negara jika diperlukan.

Malah, Nasha turut teruja dengan prospek menyarung jersi skuad wanita Malaysia sekiranya dipanggil. ”Saya juga (teruja untuk mewakili Malayan Tigress) In Shaa Allah,” katanya.

Kini, FAM menerusi pengurus skuad Malayan Tigress, Sha Shamsool mula berhubung dengan Nasha dengan tujuan mengatur sesi ujian bersama skuad muda wanita negara. Perkara ini turut dilaporkan Harimau Abroad.

Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, Nasha bakal menjadi pemain warisan terbaru menyarung jersi Malayan Tigress.

Dua pemain yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) menjadi sebahagian daripada skuad itu ke Sukan SEA 2025. Mereka ialah Kanchenjeet Kaur dan Tegen Su-Yin Butler.