Selangor FC sah dikenakan hukuman berat susulan kekecohan membabitkan penyokong dalam aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC.
Sebelum ini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mendedahkan Selangor berpotensi dikenakan hukuman berat oleh FAM.
Kemungkinan tersebut timbul disebabkan isu pertelagahan dan keganasan penyokong yang sering berlaku di Stadium MBPJ.
Kini, apa yang dibimbangi ramai penyokong menjadi kenyataan. Selangor dikenakan denda sebanyak RM100,000 dan perlu beraksi tanpa penonton di Stadium MBPJ sebanyak dua perlawanan.
Keputusan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan Datuk Baljit Singh Sidhu.
Hukuman tersebut dijatuhkan dengan mengambil kira pelbagai insiden yang berlaku dalam aksi menentang Negeri Sembilan pada 29 Oktober lalu.
Aksi tersebut penyokong bukan saja membaling mercun dan botol ke luar padang. Malah, segelintir penyokong Selangor dikesan bergaduh dengan penyokong Sang Rusa.
Selain itu, seorang tetamu kenamaan Merah Kuning turut dikesan membaling bekas minuman berisi air ke arah keluarga pemain Negeri Sembilan.
Selangor turut didakwa gagal menguatkuasakan kewajipan penganjuran perlawanan termasuk menjaga keselamatan sepanjang perlawanan berlangsung.
Selain denda sebanyak enam angka, Selangor juga dilarang beraksi tanpa penonton. Hal ini terpakai kepada aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Sabah FC dan perlawanan pertama Piala FA Selangor di laman sendiri pada musim hadapan.
Ini bukan kali pertama Selangor dikenakan hukuman akibat salah laku penyokong. Perkara sama turut terjadi pada 2023 di mana Merah Kuning didenda RM23,000 oleh FAM.