FAM Ikut Arahan FIFA
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan mereka perlu mengikut arahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung status Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Ini selepas Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu mengesahkan keputusan Kongres FAM untuk memecat PFA sebagai ahli gabungan.

Keputusan itu dibuat selepas PFA masih gagal melunaskan tunggakan kepada bekas Pengarah Bola Sepak PFA, Matthew Mark Holland mengikut tempoh yang ditetapkan FIFA.

Keputusan tersebut turut dibuat selaras dengan resolusi Kongres FAM yang diadakan pada 15 Februari 2025.

Kongres FAM meluluskan usul penggantungan PFA di bawah Artikel 17 Statut FAM sehinggalah badan induk itu melunaskan tunggakan mereka seperti yang ditetapkan oleh FIFA pada 11 November 2024.

Kongres sama turut meluluskan usul pemecatan keahlian PFA di bawah Artikel 18 Statut FAM sekiranya mereka masih gagal membuat bayaran 6 bulan daripada .tarikh penggantungan.

FAM turut memaklumkan Timbalan Presiden badan induk itu, Datuk S. Sivasundaram akan menggalas tugas selaku Pengerusi Amateur Football League (AFL).

Sivasundaram menggantikan penyandang sebelumnya merangkap Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Pengumuman ini sekaligus mengesahkan khabar yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom berhubung perubahan tampuk pengerusi liga tersebut.