Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan telah mengenal pasti kesilapan teknikal ketika proses penyerahan dokumen.
Hal ini dinyatakan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman bila mengulas tentang isu hukuman yang dijatuhkan FIFA ke atas badan induk itu dan tujuh pemain warisan negara.
Ketika ini, FAM sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut lunas undang-undang.
Pada masa sama, badan induk bola sepak Malaysia itu turut mengenal pasti kesilapan teknikal yang berlaku ketika proses penyerahan dokumen kepada FIFA.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu keputusan penghakiman penuh daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.
“FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan oleh kakitangan pentadbiran. FAM mengambil serius perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Noor Azman turut menegaskan kesemua tujuh pemain warisan negara merupakan rakyat Malaysia yang sah.