Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) komited memastikan Projek FIFA Arena dapat berjalan dengan jayanya.
Secara ringkas, FIFA Arena ialah inisiatif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membina padang mini baharu bagi membantu perkembangan akar umbi di seluruh dunia.
Mengikut saranan FIFA, setiap ahli gabungan harus membina sekurang-kurangnya dua buah padang mini berukuran 20 meter x 40 meter di sekolah terpilih.
Malaysia antara 211 negara ahli gabungan yang menerima tawaran badan induk itu untuk inisiatif FIFA Arena.
Dua sekolah telah dipilih untuk inisiatif FIFA Arena iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana, Petaling Jaya, Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (2), Putrajaya.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi menyambut baik inisiatif FIFA Arena. Ini kerana inisiatif ini dapat membantu ahli-ahli gabungan merancakkan lagi program akar umbi mereka.
“FAM amat berterima kasih kepada FIFA terutamanya Presiden Gianni Infantino atas usaha murni beliau dalam menggerakkan projek FIFA Arena.
“Sudah tentu, dengan adanya padang mini itu nanti ia akan membantu murid-murid sekolah untuk terlibat lebih aktif dalam sukan bola sepak.
“Secara tidak langsung, ia mampu memenuhi hasrat FIFA untuk melahirkan lebih ramai pemain muda di seluruh dunia,” katanya.
Yusoff turut berkesempatan meninjau pelaksanaan projek FIFA Arena di SK Sri Kelana. Beliau diiringi oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram.