FAM telah mengambil langkah melaporkan tindakan biadap penyokong Indonesia dalam saingan peringkat kumpulan Piala Mandiri ASEAN B-23 kepada AFF dan AFC.
Perkara ini dinyatakan Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Ayub apabila diminta mengulas perkara berkenaan.
Aksi peringkat kumpulan Piala Mandiri ASEAN B-23 antara Malaysia dan Indonesia menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Meskipun penyokong kedua-dua pasukan mempamerkan semangat kesukanan tinggi dalam aksi itu, masih ada segelintir penyokong yang cuba mencetuskan provokasi.
Ini termasuk insiden bendera Jalur Gemilang yang dipangkah dan dikibarkan secara terbalik di Stadium Gelora Bung Karno (GBK).
Gambar bendera tersebut tular sebaik ia dikongsikan di media sosial. Susulan itu, ramai penyokong mahu FAM mengambil tindakan segera berhubung isu itu.
Lantas, Joehari memaklumkan aduan sudah difailkan FAM kepada dua badan induk tersebut.
“”Kami sudah hubungi AFF dan AFC. Kami pandang serius. Kami tidak bertolak ansur dengan tindakan sebegini,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Joehari bercakap kepada media selepas majlis perasmian Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 yang berlangsung pada Khamis.