FAM Nafi Berita Exco Letak Jawatan
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan khabar angin mendakwa barisan exco badan induk tersebut bakal meletakkan jawatan.

Menerusi kenyataan pada Selasa, Datuk Wira Yusoff Mahadi sebagai Pemangku Presiden FAM tampil menafikan khabar angin mengenai peletakan jawatan barisan exco yang tular sebelum ini.

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa berita yang tular di media sosial berhubung dakwaan peletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) adalah tidak benar dan tidak berasas.”

“FAM ingin menyatakan bahawa tiada sebarang peletakan jawatan secara beramai-ramai atau pembubaran barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM seperti yang didakwa.”

Beliau menambah, pelantikan dan pemilihan kesemua Exco FAM dibuat melalui saluran yang sah dan berperlembagaan, selaras dengan Statut FAM serta garis panduan oleh badan induk bola sepak antarabangsa.

Struktur kepimpinan FAM yang sedia ada kini turut dianggap telah pun melaksanakan tugas dengan penuh komitmen bagi memastikan perjalanan organisasi serta pembangunan bola sepak negara tidak terjejas.

FAM dalam kenyataan sama turut menyatakan komitmen tinggi bagi terus beroperasi secara telus, profesional dan berintegriti demi kepentingan bola sepak di Malaysia.