FAM Nafi Terima Tiket Percuma Piala Dunia 2022
MakanBola
FA Malaysia

Setiausaha Agung FA Malaysia menafikan isu menerima tiket percuma ketika aksi Piala Dunia 2022.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil membuat penjelasan berkaitan laporan berita yang dibangkitkan wartawan veteran, R. Nadeswaran dalam satu artikel di portal Malaysiakini baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, tidak timbul sebarang isu mengenai tiket Piala Dunia 2022 sambil beliau menyifatkan artikel yang ditulis Nadeswaran adalah tidak berasas.

Tambah beliau, FAM tidak pernah menerima sebarang tiket percuma daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa tiada tiket percuma daripada FIFA. FAM tidak menerima apa-apa tiket perlawanan Piala Dunia 2022 secara percuma walaupun FAM merupakan salah sebuah ahli gabungan FIFA.

“Jadi jika ada dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan FAM menerima tiket percuma daripada FIFA, itu adalah tidak benar sama sekali,” kata Datuk NoorAzman dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Datuk Noor Azman memberitahu, setiap ahli gabungan FIFA termasuk FAM tetap diberikan peruntukan untuk pembelian tiket menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2022.

“Setiap ahli gabungan FIFA yang negaranya tidak beraksi pada Piala Dunia 2022 di Qatar telah diberikan peruntukan untuk pembelian tiket sebanyak 290 keping secara maksimum.”

“Bagi aksi peringkat kumpulan, pusingan 16 terbaik, suku akhir dan penentuan tempat ketiga membabitkan keseluruhan 60 perlawanan.”

“Jadi peruntukan untuk pembelian tiket yang diberikan bagi setiap perlawanan adalah sebanyak 20 keping dan jumlah maksimum tiket bagi kesemua perlawanan kategori itu ialah 250 keping.”

“Bagi perlawanan pembukaan, separuh akhir dan final pula, peruntukan untuk pembelian tiket hanyalah sebanyak 10 keping setiap perlawanan dan jumlah maksimum tiket bagi kategori perlawanan ini ialah 40 keping.”

“Maka jumlah peruntukan pembelian tiket bagi setiap ahli gabungan FIFA yang negaranya tidak beraksi ialah sebanyak 290 keping tetapi bergantung kepada jumlah tiket yang masih ada,” jelas Datuk Noor Azman.

Pada masa sama, beliau memberitahu FAM tidak menggunakan sepenuhnya peruntukan maksimum sebanyak 290 keping tiket tersebut sebaliknya hanya membeli sejumlah 92 keping tiket.

Seperti yang dinyatakan dalam surat FIFA bertarikh 17 Jun 2022, peruntukan tiket adalah untuk pembelian daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif, Ahli-ahli Gabungan FAM, rakan penaja dan pemegang taruh berkaitan.

“Berdasarkan jumlah permintaan pembelian yang diterima, FAM hanya membeli sebanyak 92 keping tiket iaitu 72 keping bagi kategori perlawanan peringkat kumpulan, pusingan 16 terbaik, suku akhir dan penentuan tempat ketiga serta 20 keping bagi kategori perlawanan pembukaan, separuh akhir dan final.

“Selain itu, ingin dimaklumkan bahawa FAM selama ini tidak pernah menjual tiket Piala Dunia kepada peminat dan penyokong bola sepak Malaysia dan perkara yang sama juga dilakukan bagi tiket Piala Dunia 2022.

Ini cukup jelas bahawa tiada sebarang masalah pun berhubung hal peruntukan pembelian tiket Piala Dunia 2022 ini kerana ia mengikut segala prosedur yang telah ditetapkan oleh FIFA,” tegas Datuk Noor Azman.