FAM akhirnya mendedahkan sebab mengapa mereka memadam laporan IIC di laman sesawang badan induk itu.
Selepas IIC selesai membuat siasatan, laporan siasatan itu diserahkan oleh pengerusi jawatankuasa, Tun Md. Raus Sharif kepada Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.
Laporan tersebut kemudiannya disiarkan di laman sesawang badan induk itu pada 16 Disember lalu. Walau bagaimanapun, laporan tersebut kemudiannya dipadam di laman sama.
Hal ini mengundang tanda tanya dalam kalangan penyokong Malaysia. Kini, Yusoff memaklumkan langkah itu diambil kerana tidak mahu menjejaskan rayuan Malaysia ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Laporan IIC itu ialah laporan awam. Itu sebab kita muat naik (laporan) pada petang itu,” katanya dalam sidang media.
“Tetapi kita terlepas pandang masa kita muat naik itu, pada masa sama 18 haribulan ialah tarikh (akhir) kita menghantar dokumen ke CAS.
“Jadi, kita turunkan balik itu atas faktor kita tidak mahu mengganggu penyerahan dokumen peguam kita kepada CAS.”
Yusoff berjanji dokumen laporan IIC akan disiarkan di laman sesawang FAM selepas mendapat lampu hijau pasukan guaman yang menguruskan kes badan induk itu dan tujuh pemain.
FAM juga akan melaksanakan semua syor yang dikemukakan IIC termasuk membuat laporan polis berhubung skandal pemalsuan dokumen berkenaan.