FAM Patuh SOP Belanja Peruntukan RM15 Juta
MakanBola
FA Malaysia

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan badan induk itu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berhubung peruntukan RM15 juta.

Komen tersebut dibuat apabila ditanya tentang cara FAM menguruskan peruntukan tersebut daripada pihak kerajaan.

Noor Azman memaklumkan FAM sentiasa menghantar laporan perbelanjaan kepada Kementerian Kewangan (MoF) seperti yang diminta kerajaan.

“Untuk makluman, penyata perbelanjaan dihantar kepada Kementerian Kewangan (MoF) setiap tiga bulan sekali.

“Pada masa sama, FAM menghantar penyata perbelanjaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) setiap bulan.

“KBS bertangunggjawab memantau perbelanjaan mengikut seperti apa yang telah diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada September 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM15 juta dengan tujuan memperkasa skuad kebangsaan.

Noor Azman turut menegaskan setiap wang dalam peruntukan itu dibelanjakan khusus untuk kegunaan Harimau Malaya.

“Setiap sen yang digunakan daripada peruntukan kerajaan ini telah dimasukkan dalam laporan perbelanjaan dan mengikut semua SOP kerajaan.

“Jadi kita tidak sewenang-wenangnya menggunakan peruntukan itu kerana apa yang dibelanjakan adalah untuk pasukan kebangsaan, bukannya persatuan,” ujarnya.

Malaysia meneruskan rekod tanpa kalah di bawah bimbingan Peter Cklamovski kepada empat perlawanan. Ini selepas Harimau Malaya menewaskan Singapura 2-1 baru-baru ini.

Harimau Malaya akan menghadapi cabaran pasukan ke-98 dunia, Palestin untuk aksi persahabatan kedua pada 8 September.