Pengendali Pahang Rangers FC, Luis Fonseca berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mengubah format Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
Pandangan itu dibuat beliau selepas menilai kalendar kejohanan futsal di Malaysia termasuk saingan Malaysia Futsal Cup (MFC).
Fonseca melihat perubahan format MPFL perlu dibuat kerana ia bukan saja mampu meningkatkan kualiti sukan futsal Malaysia.
Malah, jurulatih Brazil itu melihat ini akan menambah kerancakan saingan liga tersebut. Ini termasuk persaingan merebut kejuaraan liga.
“FAM perlu ubah MPFL. Liganya ialah liga bodoh, hanya berlangsung sebanyak 14 perlawanan. Dan sebulan sebelum perlawanan berakhir, semua orang tahu siapa akan menang.
“Tiada (aksi) play-off, tiada (aksi) Piala Super. Tiada apa-apa, itu masalahnya,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan final MFC.
Pahang Rangers terpaksa berpuas hati dengan status naib juara apabila dibelasah Selangor FC 13-3 di N9 Arena.
Kekalahan ini menyaksikan Pahang Rangers terlepas peluang bergelar juara MFC buat kali pertama sejak edisi 2023.