FAM Sedia Proaktif Bangun E-Sukan Di Malaysia
UltraSukan
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia mengambil langkah proaktif untuk membangunkan e-sukan di Malaysia.

Hasrat itu dizahirkan Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi apabila ditanya tentang perancangan FAM untuk sukan berkenaan.

Yusoff melihat sejak penubuhan FAM eRimau pada 2021, pasukan itu banyak mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Ini termasuk kejayaan Ahmad Muhaimin Abd Razak atau Minbappe menjadi wakil Malaysia dan ASEAN pertama bergelar juara FIFAe World Cup.

Atas sebab itu, Yusoff merasakan pencarian bakat baharu terutama di peringkat akar umbi perlu demi merancakkan lagi pembangunan e-sukan di Malaysia.

“Jadi selepas melihat potensi dan prestasi membanggakan yang ada pada pemain-pemain pasukan eRimau selain kejayaan hebat Minbappe, FAM sedia mengorak langkah lebih jauh dalam membangunkan e-sukan di Malaysia.

“FAM sedia untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama dengan syarikat tempatan, Gamesbond untuk mencungkil lebih ramai pemain eFootball yang mampu bersaing dengan jaguh-jaguh dunia.

“Apa yang lebih penting, FAM akan berusaha ke arah membangunkan program di peringkat kejurulatihan dan akar umbi,” katanya.

FAM eRimau kini akan beraksi untuk pusingan kelayakan FIFAe World Cup. Seramai 13 pemain mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan tersebut.

Enam pemain akan berentap dalam kategori konsol eFootball. Empat pemain bersaing dalam kategori mudah alih eFootball dengan tiga lagi pemain bagi kategori Rocket League.