Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan rayuan sudah pun dihantar kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung hukuman FIFA ke atas badan induk dan 7 pemain warisan Harimau Malaya.
Perkembangan terbaharu ini disampaikan oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi menerusi suatu kenyataan yang mengesahkan rayuan sudah dihantar ke pihak CAS.
“FAM telah mengemukakan Pernyataan Rayuan kepada CAS berhubung hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas badan induk ini dan 7 pemain warisan Harimau Malaya” ujar beliau dalam kenyataan itu.
CAS pula menetapkan tempoh 10 hari diberikan buat pihak peguam yang mewakili FAM bagi mengemukakan hujahan bertulis yang lengkap dengan 18 Disember menjadi tarikh akhir.
Datuk Wira Yusoff Mahadi menegaskan komitmen penuh pihak FAM untuk menyelesaikan kes melalui proses yang profesional, telus dan menghormati prosedur perundangan yang telah ditetapkan.
Beliau menutup kenyataan dengan memaklumkan sebarang perkembangan terkini kes bakal diumumkan dari semasa ke semasa.