Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima Anugerah Pengiktirafan Presiden AFC untuk Bola Sepak Akar Umbi (Kategori Perak).
Pencapaian itu dilakar dalam majlis AFC Awards Riyadh 2025 yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi awal pagi ini.
“Tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana memenangi Anugerah Pengiktirafan Presiden AFC untuk Bola Sepak Akar Umbi (Kategori Perak)!” kata AFC dalam satu hantaran di Facebook.
Anugerah ini menyaksikan FAM mengatasi cabaran Persatuan Bolasepak Guam (GFA) dan Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF).
Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin menerima anugerah tersebut bagi pihak FAM.
Sementara itu, pemain Al-Hilal, Salem Al-Dawsari dipilih sebagai Pemain Terbaik AFC 2025. Beliau mengatasi pemenang anugerah sebelumnya, Akram Afif dan pemain sayap negara, Arif Aiman Hanapi.
Meskipun Arif tidak memenangi anugerah tersebut, beliau menjadi pemain Malaysia pertama dicalonkan untuk Pemain Terbaik AFC.
Beliau juga menjadi calon pemain Asia Tenggara pertama dicalonkan untuk anugerah itu sejak tahun 2003.