Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap tegas memperjuangkan hak tujuh pemain warisan negara.
Perkara ini ditegaskan Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi dalam satu kenyataan. Ini selepas rayuan yang dikemukakan FAM dan tujuh pemain negara ditolak Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Yusoff mengakui terkejut dengan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Rayuan FIFA. Pada masa sama, itu tidak akan mematahkan semangat badan induk itu memperjuangkan nasib pemain negara.
“Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut.
“Walau bagaimanapun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
FAM kini akan mengemukakan permohonan butiran dan alasan bertulis kepada FIFA berhubung keputusan rayuan itu.
Setelah itu, badan induk bola sepak Malaysia itu akan membawa rayuan mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).