FAM Tunggu Dokumen Penuh Daripada FIFA
MakanBola
FA Malaysia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menunggu dokumen penghakiman penuh daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Hal ini dinyatakan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Haji Rahman bila mengulas perkembangan membabitkan isu hukuman FIFA ke atas badan induk itu dan tujuh pemain warisan negara.

Beliau memaklumkan FAM masih menunggu penghakiman penuh FIFA berhubung hukuman yang dijatuhkan badan induk bola sepak antarabangsa itu.

Sebaik saja dokumen tersebut diterima, barulah boleh FAM mengemukakan rayuan kepada FIFA berhubung perkara berkenaan.

“FAM masih menunggu dokumen penuh keputusan penghakiman daripada pihak FIFA. Proses rayuan hanya akan dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan penghakiman tersebut diterima.

“Sehubungan itu, pihak FAM tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkembangan lanjut sehingga proses rayuan selesai sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.

FAM diberi tempoh 10 hari oleh FIFA untuk membuat rayuan berhubung hukuman tersebut.