Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai pemain skuad Malaysia B-16 ke kem latihan pusat menjelang Kelayakan Piala Asia B-17 pada 2026.
11 pemain dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Pahang diketuai Taufiquul Hakim Mohd Azlan berada dalam skuad yang dibimbing Javier Jorda Ribera.
Muhammad Hakim Rosli pula mengetuai empat pemain dari SMK Taman Desa Skudai, Johor.
Malaysia B-16 turut diwakili dua pemain dari SMK Ibrahim Fikri dan satu pemain dari PB Melaka dan PB PDRM.
Selain itu, Malaysia B-16 turut memiliki satu pemain masing-masing mewakili SMK Dato Biji Wangsa, SMK Hj Abd Kadir, SMK Seberang Temerloh, SMK Seri Gading, SMK Syed Hassan, SMK Tunku Anum dan Sekolah Sukan Bukit Jalil.
FAM turut memanggil 4 pemain yang bermain di kelab luar negara iaitu Reyes Shaqeel (QPR), Kim Johan (Footballklubben Jerv), Mirza Arif (BISP Cruzeiro Football Academy) dan Keith Chan (Club de Futbol San Jose).
30 pemain ini akan melaporkan diri bermula hari ini (29 Julai 2025) hingga Khamis, 31 Julai 2025 di Akademi Mokhtar Dahari(AMD), Gambang, Pahang.
Kelayakan Piala Asia B-17 2026 dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 30 November ini dengan majlis undiannya akan diadakan pada 7 Ogos 2025.