Fernando Forestieri Sertai Kelab Cyprus, AEK Limassol
MakanBola
AEK Limassol

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri kini beraksi untuk kelab Cyprus, AEK Limassol.

Selepas meninggalkan Harimau Selatan pada Januari 2025, ramai penyokong JDT ingin tahu destinasi baharu beliau selepas ini.

Semasa mencari kelab baharu, Forestieri bukan saja tampil beraksi sebagai pemain jemputan saingan Baller League UK.

Malah, beliau turut berpeluang mewakili kelab lamanya, Sheffield Wednesday untuk perlawanan kebajikan pada Mei lalu.

Pada ketika itu, ada peminat menyangka Forestieri dilihat berminat untuk kembali menyertai The Owls.

Kini, Forestieri mengesahkan beliau kini mewakili Limassol dalam saingan Cypriot First Division. Hal ini dinyatakan beliau dalam satu hantaran di Instagram.

“Amat gembira dan teruja untuk memulakan pengembaraan baharu saya! Terima kasih kepada semua orang yang menjadikan perkara ini menjadi realiti!” katanya.

Forestieri antara 12 pemain baharu yang dibawa masuk untuk memperkuat kempen Limassol. Selain beliau, kelab itu turut merekrut bekas pemain tengah Bangkok United, Bassel Jradi.

Forestieri diturunkan dalam aksi pra-musim Limassol menentang Hapoel Raanana. Aksi tersebut berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Sebaik perpindahan beliau diumumkan di Instagram, ramai bekas rakan sepasukan mengucapkan selamat berjaya kepada beliau.

Antara yang berbuat demikian ialah Juan Muniz dan Levy Madinda (JDT), Atdhe Nuhiu (Sheffield Wednesday) dan Jonathan Bond (Watford).