Usaha Indonesia menukar pengadil menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Arab Saudi gagal membuahkan hasil.
Selepas mengetahui pengadil Kuwait, Ahmed Al-Ali menjadi pengadil untuk aksi berkenaan, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) segera membuat protes kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
PSSI memohon pengadil neutral dilantik untuk aksi tersebut atas alasan Ahmed datang dari rantau sama dengan Arab Saudi iaitu Asia Barat.
Meskipun begitu, CNN Indonesia melaporkan usaha PSSI menukar pengadil untuk aksi mereka dan Arab Saudi gagal sama sekali.
FIFA dan AFC mengambil kira protes yang dibuat PSSI tetapi memilih mengekalkan Ahmed sebagai pengadil untuk aksi tersebut.
Pengadil Kuwait itu bukan asing dengan pasukan Indonesia. Ini kerana beliau menjadi pengadil untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022 antara pasukan itu dan Vietnam pada 2021.
Perlawanan tersebut berkesudahan dengan pasukan yang dibimbing Park Hang-seo itu meraih kemenangan 4-0 di Dubai.
Indonesia akan berdepan cabaran Arab Saudi di Jeddah pada 8 Oktober ini.