FIFA Beri Teguran Kepada Erick Thohir
MakanBola
PSSI

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah memberi peringatan serta teguran kepada Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.

Teguran itu berkait dengan tindakannya yang memegang dua jawatan dalam waktu yang sama sebagai Presiden PSSI serta Pengerusi Jawatankuasa Pengadil badan induk bola sepak negara itu.

Menurut Erick Thohir, tindakan beliau memegang jawatan itu pada mulanya bertujuan bagi memastikan integriti sistem pengadilan kekal utuh dan juga bebas daripada sebarang unsur rasuah.

“Kenapa saya jadi Ketua Pengadil? Siapa yang berani sogok saya?” kata beliau dengan nada sinis menurut laporan CNN Indonesia.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa FIFA telah memberi teguran berkenaan tindakan menjawat dua peranan besar itu bertentangan dengan amalan pengurusan bola sepak di peringkat antarabangsa.

“(Saya) sudah diperingatkan FIFA. Tak ada di seluruh dunia presiden persatuan juga jadi ketua jawatankuasa pengadil,” katanya lagi.

Justeru, Erick Thohir mengumumkan bakal melepaskan tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengadil dan menyerahkan jawatan itu kepada Yoshimi Ogawa dari Jepun.

Ogawa yang sebelum ini bertindak selaku timbalan pengerusi selama lebih setahun kini dilihat sudah bersedia mengambil alih peranan utama tersebut sepenuhnya daripada Erick Thohir.

Malah, Erick turut menyeru supaya segala usaha PSSI terus diperhatikan dan ditegur secara membina, bukan dengan niat menjatuhkan bagi memastikan impian anak muda yang mahu berjaya dalam bola sepak.