FIFA Halang Kelantan RW Daftar Pemain Hingga 14 Ogos?
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) berdepan cabaran menjelang saingan Liga A1 Semi-Pro yang membuka tirainya pada Ogos ini.

Ini kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menghalang pasukan Pantai Timur itu daripada mendaftarkan pemain sehingga 14 Ogos ini.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Larangan ini dilihat ada kaitan dengan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan badan induk itu kepada Kelantan RW baru-baru ini.

“FIFA dikhabarkan tidak membenarkan KRW melakukan pendaftaran pemain sehingga 14 Ogos depan,” katanya di X.

Sebelum ini, Kelantan RW menerima surat tunjuk sebab daripada FIFA. Ini selepas badan induk itu mahu pasukan itu membuktikan mereka entiti berbeza daripada kelab Kelantan FC.

Kelantan FC pernah beraksi dalam saingan Liga Super musim 2023. Kelab itu turut menggunakan gelaran The Red Warriors ketika kelab itu beraksi dalam liga berkenaan.

Selepas gagal mendapat lesen untuk Liga Super musim 2024/25, Kelantan FC cuba beraksi di saingan Liga A1 Semi-Pro tetapi tidak berhasil. Kelab itu kemudiannya menarik diri daripada saingan liga itu untuk musim 2024/25.

Sekiranya FIFA mendapati kedua-dua kelab ialah entiti yang sama, Kelantan RW bakal berdepan hukuman daripada badan induk itu.

Salah satu hukuman tersebut ialah sekatan perpindahan. Semakan di pangkalan data FIFA mendapati Kelantan FC masih berdepan sekatan perpindahan sejak September 2024.