FIFA Isytihar Malaysia Kalah 3-0 Dalam 3 Aksi Antarabangsa Tier 1
MakanBola
Malaysia NT

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan kes menurunkan pemain yang didapati tidak layak beraksi.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang bersidang pada 12 Disember 2025, dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi, Jorge Palacio.

Menurut FAM, badan induk bola sepak dunia tersebut mendapati persatuan itu telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) selepas menurunkan pemain tidak layak dalam tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1 membabitkan pasukan kebangsaan.

3 perlawanan yang terlibat ialah aksi menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 yang berakhir dengan keputusan seri 1-1, pertemuan dengan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September 2025 yang dimenangi Malaysia 2-1, serta perlawanan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 September 2025 yang turut dimenangi Harimau Malaya 1-0.

Susulan dapatan tersebut, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan bahawa Malaysia diisytiharkan kalah dengan jaringan 3-0 bagi ketiga-tiga perlawanan berkenaan.

Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak CHF10,000, bersamaan kira-kira RM51,414.

Dalam perkembangan sama, FAM memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan bertulis kepada FIFA bagi mendapatkan alasan penuh keputusan tersebut sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya berhubung perkara berkenaan.