Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan 7 pemain warisan selepas meneliti semua bukti dan hujahan yang dikemukakan dalam prosiding rayuan tersebut. Keputusan itu mengekalkan sepenuhnya hukuman yang telah dijatuhkan sebelum ini termasuk denda terhadap FAM serta penggantungan dan denda individu kepada setiap pemain.
Dalam keputusan bertulis, jawatankuasa itu menjelaskan bahawa kes ini melibatkan pelanggaran serius berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA atau FDC. Hukuman asal terhadap FAM iaitu denda berjumlah CHF 350,000 dikekalkan begitu juga dengan hukuman ke atas 7 pemain yang masing-masing dikenakan denda CHF 2,000 serta penggantungan selama 12 bulan.
FAM dalam rayuannya berhujah bahawa isu ini berpunca daripada kesilapan teknikal dan pentadbiran termasuk kekeliruan antara salinan dokumen tidak rasmi yang diperoleh melalui ejen dan salinan rasmi daripada pihak berkuasa pendaftaran. Mereka mendakwa kesilapan memuat naik dokumen yang berlaku adalah tidak disengajakan.
Walau bagaimanapun jawatankuasa mendapati bahawa bukti yang tersedia menunjukkan wujud dokumen yang telah diubah suai khususnya sijil kelahiran datuk atau nenek pemain yang tidak sepadan dengan rekod sebenar. Ketidaktepatan yang signifikan ini menjadi asas utama penolakan rayuan.
FIFA menegaskan bahawa proses kelayakan pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan bukan sekadar prosedur pentadbiran tetapi merupakan prinsip asas yang melindungi integriti pertandingan antarabangsa. Jawatankuasa memaklumkan bahawa FAM telah menerima penjelasan terperinci dalam bentuk motivated decision dan mempunyai hak untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan atau CAS sekiranya meneruskan rayuan ke peringkat seterusnya.
Dalam penutup keputusannya jawatankuasa menegaskan bahawa kesalahan seperti pemalsuan dokumen adalah satu perbuatan yang menjejaskan asas kredibiliti bola sepak antarabangsa. Mereka menekankan bahawa percubaan untuk mengemukakan dokumen yang dipalsukan demi mengelirukan badan pentadbir merupakan pelanggaran integriti yang serius. Justeru, tiada asas untuk membatalkan keputusan asal dan semua rayuan ditolak sepenuhnya. Kos prosiding turut ditetapkan untuk ditanggung bersama oleh semua perayu mengikut Artikel 49 FDC.
Keputusan tersebut turut disertakan dengan arahan tindakan lanjut. Jawatankuasa mengarahkan satu siasatan rasmi terhadap operasi dalaman FAM termasuk usaha mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memalsukan dokumen serta menilai keberkesanan mekanisme tadbir urus dan pematuhan FAM. Siasatan akan memberi tumpuan kepada peranan Setiausaha Agung FAM serta dua ejen berlesen FIFA iaitu Nicolás Puppo dan Frederico Moraes yang dinamakan dalam prosiding ini.
Selain itu, Jawatankuasa turut mengarahkan siasatan berasingan berhubung penggunaan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan bagi menentukan sama ada tindakan tambahan perlu dikenakan. Dengan mempertimbangkan keseriusan pemalsuan dokumen rasmi, jawatankuasa mengarahkan Sekretariat untuk memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia supaya siasatan jenayah dapat dijalankan mengikut undang undang negara masing masing.
Keputusan ini bukan sahaja mengekalkan hukuman asal tetapi turut membuka jalan kepada penyiasatan lanjutan terhadap individu yang terlibat tahap tadbir urus dalaman FAM dan implikasi lanjut di peringkat antarabangsa.