FIFA ‘Sidai’ Malaysia Sekali Lagi
MakanBola
Malaysia NT

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekali lagi membuatkan rakyat Malaysia tertunggu-tunggu tentang keputusan rayuan FAM terhadap hukuman buat 7 pemain warisan Harimau Malaya.

Para peminat bola sepak Malaysia ketika ini menanti dengan penuh sabar keputusan rayuan FAM mengenai dakwaan kes pemalsuan dokumen melibatkan 7 pemain warisan Harimau Malaya.

Ini selepas Serge Vittoz iaitu peguam yang mewakili Malaysia dalam kes ini memaklumkan bahawa keputusan rayuan bakal diumumkan seawal 30 Oktober setelah jawatankuasa rayuan selesai bersidang.

“Kami diberitahu pada hari ini (17 Oktober) keputusan rasmi akan dikeluarkan pada 30 Oktober 2025 oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA,” maklum Serge Vittoz ketika sesi sidang media beberapa minggu lalu.

“Kemungkinan besar ia akan dimaklumkan kepada pihak-pihak berkaitan pada hari yang sama atau beberapa hari selepas itu,” tambah beliau.

Sebaik beliau memaklumkan hal tersebut, para peminat bola sepak tempatan mula tidak senang duduk ketika menantikan keputusan rayuan yang akan diumum pada hari Khamis, 30 Oktober.

Penantian panjang dari tengah malam sehingga ke awal pagi bagaimanapun berakhir kecewa selepas FIFA tidak memuat naik sebarang makluman terkini mengenai keputusan rayuan FAM itu.

Keesokan harinya iaitu 31 Oktober, peminat dan pemerhati bola sepak tempatan masih berdebar menunggu sebarang pengumuman oleh badan induk bola sepak dunia itu namun sekali lagi hampa.

Setakat artikel ini diterbitkan pada 1 November, masih tiada sebarang makluman terkini didapati di laman sesawang FIFA mengenai keputusan rayuan FAM yang melibatkan 7 pemain warisan negara.

Keputusan rayuan ini amat penting untuk menentukan nasib bola sepak negara sama ada kekal dikenakan hukuman atau sebaliknya, selepas kes ini akan berkemungkinan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) andai tidak memihak kepada Malaysia.