FIFA Tak Beri Sebarang Bukti Malaysia Palsukan Dokumen
MakanBola
Haniff Che Mohamad / MakanBola

FIFA mendedahkan laporan penuh berhubung keputusan Jawatankuasa Disiplin yang mengenakan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan 7 pemain warisan Harimau Malaya, dakwaan yang mengaitkan Malaysia dengan pemalsuan dokumen.

Walaupun dokumen setebal 17 muka surat itu memberikan penjelasan mengenai keputusan tersebut, ia menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan, terutamanya berkaitan bukti konkrit yang menyokong dakwaan pemalsuan tersebut.

Hasil semakan mendapati FIFA tidak mengemukakan sebarang bukti konkrit bahawa Malaysia memalsukan dokumen rasmi bagi mendaftarkan pemain terbabit. Dalam laporan tersebut, FIFA hanya menyatakan bahawa mereka menerima maklumat daripada ‘negara asal pemain berkenaan’ tanpa menyertakan dokumen atau bukti yang boleh disahkan.

Sebaliknya, Malaysia telah menyerahkan dokumen asal yang disahkan oleh pihak berkuasa negara asal pemain, termasuk sijil kelahiran dan dokumen sokongan lain, namun FIFA tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai kesahihan dokumen tersebut.

Sejarah menunjukkan bahawa dakwaan awal FIFA tidak semestinya tepat. Kes Emilio Nsue dari Equatorial Guinea menjadi contoh nyata. Nsue, bekas pemain bawah umur Sepanyol, pernah digantung pada 2015 selepas FIFA mendakwa beliau tidak layak mewakili Equatorial Guinea kerana isu dokumentasi asal-usul.

Namun, siasatan lanjut membuktikan bahawa kewarganegaraannya sah melalui ibunya, dan FIFA akhirnya menarik balik sebahagian tuduhan itu. Kes ini menunjukkan bahawa kelemahan pentadbiran dan kesilapan dokumentasi boleh membawa kepada tuduhan berat, situasi yang kini menyerupai kes tujuh pemain warisan Malaysia yang digantung atas dakwaan pemalsuan dokumen asal-usul keluarga.

Selain itu, tindakan FIFA terhadap negara-negara lain menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dan ketelusan dalam pengambilan keputusan. Rusia digantung daripada penyertaan kejohanan antarabangsa sejak 2022, manakala Israel masih belum dikenakan tindakan walaupun terdapat seruan antarabangsa untuk menggantung penyertaan mereka. Keadaan ini memperlihatkan bahawa proses pengambilan keputusan FIFA tidak selalunya konsisten, sekali gus menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan objektiviti badan itu.

Berdasarkan fakta yang ada, dakwaan pemalsuan dokumen terhadap Malaysia tidak disokong dengan bukti konkrit. Malaysia telah memenuhi semua keperluan yang ditetapkan oleh FIFA dalam proses naturalisasi pemain dengan menyerahkan dokumen yang sah dan disahkan oleh pihak berkuasa negara asal.

Dalam menghadapi situasi ini, FAM telah memutuskan untuk mengambil langkah seterusnya dengan membuat rayuan dalam tempoh yang ditetapkan oleh FIFA, bagi memastikan hak pemain dan integriti Persatuan dipertahankan.