FIFPRO Pertahan 7 Pemain Warisan Malaysia, Anggap Hukuman FIFA Tak Masuk Akal
MakanBola
MNT/FIFPRO

FIFPRO tampil menyuarakan kebimbangan serius terhadap keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas 7 pemain yang memohon kelayakan untuk mewakili Malaysia.

Dalam satu kenyataan rasmi, Kesatuan Pemain Profesional Bola Sepak Antarabangsa (FIFPRO) menyifatkan hukuman tersebut sebagai ‘amat tidak seimbang’ dan menegaskan bahawa para pemain sebenarnya merupakan mangsa dalam isu yang kini menggemparkan bola sepak negara.

FIFPRO menekankan bahawa keputusan FIFA sendiri mengesahkan 7 pemain berkenaan tidak memalsukan sebarang dokumen, malah dokumen asal yang diserahkan mereka adalah sah dan tulen. Menurut organisasi itu, apabila 7 individu terjebak dalam situasi identikal, jelas menunjukkan sebarang pemalsuan bukanlah tindakan individu pemain.

Lebih membimbangkan, menurut FIFPRO, para pemain tidak mempunyai saluran rasmi untuk mendapatkan pengesahan kelayakan daripada FIFA secara individu, dan perkara itu pula tidak diwajibkan oleh peraturan sedia ada. Namun mereka kini dipertanggungjawabkan atas dokumen yang dihantar kepada FIFA oleh pihak lain, termasuk pihak yang sepatutnya menguruskan proses tersebut.

FIFPRO menjelaskan bahawa semua pemain telah mengikuti setiap prosedur seperti diarahkan iaitu menyerahkan dokumen peribadi, hadir ke pejabat kerajaan Malaysia, menjalani angkat sumpah, menerima pasport rasmi, dan menunggu pengesahan kelayakan daripada FAM.

Kesemua langkah itu dikendalikan sepenuhnya oleh institusi yang berada di luar kawalan pemain, namun mereka kini yang terpaksa menanggung akibat yang berat.

Penggantungan 12 bulan tersebut bukan sahaja menjejaskan karier profesional mereka, malah membawa implikasi besar kepada masa depan mereka di kelab masing-masing.

Sehubungan itu, FIFPRO menyatakan sokongan penuh kepada kesemua 7 pemain tersebut dan menyatakan keyakinan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) akan membetulkan ketidakadilan ini.