Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz bersedia dengan kemungkinan aksi bakal berlanjutan ke penentuan sepakan penalti apabila menentang Sabah dalam aksi final Piala FA.
Perlawanan akhir Piala FA akan menemukan JDT vs Sabah dengan pasukan Harimau Selatan bakal turun dengan misi untuk mempertahan kejuaraan yang dimenangi sejak musim 2022 lalu.
Walau bagaimanapun, cabaran Sabah tidak boleh dipandang mudah selepas Sang Badak cemerlang menyingkirkan finalis musim lalu, Selangor dalam aksi penentuan sepakan penalti.
Oleh itu, Xisco Munoz tak menolak kemungkinan perlawanan akan berlanjutan ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti sekiranya berlaku, malah mahukan pemain JDT kekal bersedia
“Kami sentiasa perlu bersedia dengan semua kemungkinan kerana setiap senario boleh berlaku dalam perlawanan.”
“Namun, perkara paling penting adalah memastikan pasukan memberi sepenuh tenaga sejak minit pertama sehingga minit terakhir,” ujar Xisco Munoz ketika sidang media pada Sabtu.
Tambahnya, segala perancangan bergantung kepada situasi perlawanan nanti dengan fokus tertumpu kepada tempoh 15 minit pertama permainan untuk terus menekan Sabah nanti.
“Kami akan lihat bagaimana permainan berlangsung dan bagaimana situasinya.”
“Buat masa ini, tumpuan saya kepada permulaan perlawanan khususnya 15 minit pertama.”
“Dalam setiap perlawanan besar, sentiasa ada ‘perlawanan kecil’ di dalamnya dan kami perlu mengawal situasi-situasi kecil ini dengan baik.”
“Bagi saya, itu adalah perkara paling penting dan kami perlu terus berusaha untuk memperbaiki prestasi.”
Perlawanan JDT vs Sabah bakal berlangsung pada Ahad, 14 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan sepak mula aksi dijadualkan jam 9 malam.