Pemain pertahanan Harimau Malaya, Gabriel Palmero meraih gol sulung bersama kelab pinjaman, Unionistas CF.
Gol bek kiri berusia 23 tahun itu dicipta dalam aksi pertama Copa RFEF menentang Salamanca CF. Perlawanan itu berakhir dengan kemenangan 2-0.
Menariknya, Palmero menyumbat gol pendahuluan buat tuan rumah pada minit kedua. Ini juga gol pertama beliau bersama Unionistas selepas menyertai kelab secara pinjaman dari UD Las Palmas.
Satu lagi gol Unionistas dijaringkan oleh Ivan Moreno pada separuh masa kedua. Ini kemenangan kedua Unionistas dalam Kumpulan A peringkat wilayah Castile dan Leon.
Sebelum ini, kelab itu membelasah Santa Marta 4-0 dalam aksi pertama kumpulan. Kini, fokus Palmero dan Unionistas ialah aksi menentang Guijuelo pada 16 Ogos.
Prestasi baik Palmero bersama Unionistas dijangka membantu beliau merebut slot bek kiri skuad Harimau Malaya menjelang kalendar antarabangsa FIFA pada September ini.
Skuad negara dijadual bertemu musuh tradisi, Singapura pada 4 September. Ini disusuli aksi menentang Palestin pada 8 September.