Skuad Harimau Malaya sah memanggil khidmat pertahanan kiri warisan Malaysia-Sepanyol, Gabriel Palmero.
Perkara ini disahkan oleh pihak pengurusan kelab Unionistas CF yang memaklumkan bahawa skuad kebangsaan Malaysia mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat Palmero.
”Gabriel Palmero dipanggil menyertai pasukan kebangsaan Malaysia untuk aksi persahabatan berdepan Singapura dan Palestin di Stadium Bukit Jalil,” umum Unionistas CF dalam satu kenyataan.
Malah, Unionistas CF yang bermain dalam saingan Divisyen 3 Sepanyol turut memaklumkan bahawa Gabriel Palmero hanya akan menyertai kem latihan skuad kebangsaan bemula pada Ahad ini.
Ini selepas Gabriel Palmero selesai mengharungi perlawanan pertama liga bersama Unionistas yang bakal turun berdepan Osasuna Promesas pada 31 Ogos ini di gelanggang sendiri.
“Palmero akan memulakan perjalanan bersama skuad negara hanya beberapa jam setelah aksi pertama liga untuk pasukan Unionistas menentang Osasuna Promesas,” jelas kelab itu.
Kehadiran Palmero di dalam skuad kebangsaan amat penting untuk memberikan pilihan kepada jurulatih, Peter Cklamovski bagi merangka pertahanan ampuh dalam dua aksi pemanas badan nanti.
Setakat ini, hanya Gabriel Palmero sahaja yang sah dipanggil ke sesi latihan kebangsaan dengan baki pemain lain dijangka diumumkan dalam masa terdekat oleh pihak kejurulatihan.
Aksi Harimau Malaya menentang Singapura akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September ini sementara perlawanan bertemu Palestin di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 September.