Penjaga gol Manchester United, Andre Onana kembali menjadi sebutan peminat gara-gara tindakannya menolak penyokong Cameroon.
Insiden itu berlaku selepas aksi kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Afrika antara Cameroon dan Cape Verde. Aksi tersebut berakhir dengan Cape Verde mengejutkan Cameroon 1-0.
Dailon Livramento menjadi wira pasukan Afrika Timur itu dengan gol pada minit ke-54. Lebih malang buat Onana, beliau gagal mengagak ke mana arah sepakan penyerang Casa Pia itu.
Selepas perlawanan, seorang penyokong Cameroon cuba mendekati penjaga gol The Red Devils itu untuk bergambar dengannya. Onana kemudiannya menolak penyokong itu sebelum berlalu pergi.
Penyokong yang ditolak merasa marah dengan tindakan bekas penjaga gol Inter Milan itu sebelum membaling botol air ke arahnya. Video insiden tersebut dikongsikan akaun penyokong United, UtdFaithfuls.
Sebaik video tersebut dikongsikan, ramai peminat membidas tindakan Onana menolak penyokong tersebut. Bagi seorang peminat bernama Mind King, beliau seharusnya lebih profesional.
“Memalukan. Sebagai profesional, anda perlu berkelakuan seperti seorang profesional. Walaupun jika ada orang mengkritik anda,” katanya di X.
Ada juga yang mempertahankan tindakan Onana. Anshumaan menyatakan reaksi Onana itu normal lebih-lebih lagi selepas Cameroon tewas kepada Cape Verde.
“Beliau baru saja tewas satu perlawanan bersama negaranya. Reaksi sebegini pasti akan muncul,” katanya.
Benhard Sindimba turut bersetuju dengan pandangan tersebut. Dia merasakan Onana pastinya masih merasa kecewa kerana kesilapannya membantu Cape Verde menang.
“Apa yang penyokong ini jangkakan? Beliau sangat beremosi, ia satu kekalahan yang mengejutkan,” ujarnya.
Onana dilaporkan telah bersetuju meninggalkan United dengan menerima tawaran perpindahan pinjaman ke kelab Turkiye, Trabzonspor.