Pemain Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal kembali menjadi sebutan peminat bola sepak negara.
Ini selepas pemain berusia 22 tahun itu meledakkan gol bersama kelab baharunya, Akron City. Aksi terakhir USL League Two itu menyaksikan Akron menewaskan Toledo Villa 3-0.
Tekanan awal ke atas benteng Toledo Villa membolehkan Matt Roberts menyumbat gol pendahuluan pada minit ketiga.
15 minit kemudian, gerakan cantik Akron pantas disudahkan Wan Kuzri bagi menjadikan kelebihan 2-0. Remi Agunbiade memastikan kelab itu mendahului 3-0 sehingga rehat.
Toledo Villa cuba bangkit pada separuh masa kedua. Kebangkitan yang dicari pasukan itu tidak muncul sekaligus memastikan keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ini aksi kedua Wan Kuzri bersama Akron City dalam saingan USL League Two. Sebelum ini, beliau mewakili kelab FC Ambush dalam saingan liga sama.
Wan Kuzri mengikut jejak abangnya, Wan Kuzain mencetak nama sebagai penjaring. Sebelum ini, pemain tengah St. Louis City 2 itu membantu kelab berkenaan melakar kemenangan kelapan berturut-turut dalam Kumpulan 2 MLS Next Pro.
Ini menjadikan pasukan itu pasukan pertama dalam sejarah kejohanan yang melakar pencapaian tersebut.