Giancarlo Gallifuoco: Saya Pun Teruja Walaupun Bukan Peminat Terengganu
MakanBola
KLCFC/TFC

Orang besi KL City FC, Giancarlo Gallifuoco teruja melihat reaksi penyokong juara Piala Malaysia 2001, Terengganu FC baru-baru ini.

Komen itu dibuat beliau selepas pengulas perlawanan Astro Arena, Wan Khairil Azwa memuat naik video jaringan ketiga Peteh ketika menentang Penang FC pada 10 Ogos lalu.

Selepas mendahului menerusi gol Azam Azmi Murad dan Gabriel Silva, Terengganu menambah gol ketiga pada minit akhir permainan menerusi Khalaif Naskam.

Apa yang mengujakan Gallifuoco ialah sorakan padu yang dipamerkan penyokong Peteh meskipun mereka beraksi sebagai pasukan pelawat.

“Tenaga yang dipamerkan penyokong cukup mengagumkan! Saya sendiri pun teruja dan saya bukan peminat Terengganu,” katanya di ruang komen Instagram.

Susulan itu, seorang penyokong bernama Haruno__99 memaklumkan beliau akan merasai aura sama apabila KL City beraksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur nanti.

“Giancarlo Gallifuoco, jangan risau. Apabila giliran perlawanan seterusnya ialah perlawanan di gelanggang sendiri, anda akan rasa aura sama bersama penyokong KL (City),” ujarnya.

Kemenangan 3-0 itu menyaksikan Terengganu menghuni tangga keempat liga di belakang KL City. Selepas ini, Peteh akan menentang PDRM FC pada 13 Ogos ini.