Gianni Infantino Bakal Hadiri Kongres AFF
MakanBola
FA Malaysia

Presiden FIFA, Gianni Infantino bakal menghadiri Kongres Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Bangkok, Thailand pada 22 dan 23 November.

ASEAN Football melaporkan kehadiran beliau bertujuan melanjutkan lagi sesi perbincangan tahap tinggi berhubung penganjuran FIFA ASEAN Cup.

Infantino mengumumkan pelancaran pertandingan FIFA ASEAN Cup selepas pemeteraian Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA di Kuala Lumpur pada Oktober lalu.

Pemeteraian perjanjian dibuat oleh beliau dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn. Majlis turut disaksikan Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kejohanan ini bakal melibatkan penyertaan 11 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura, Myanmar, Timor Leste, Brunei, Filipina, Laos dan Kemboja.

Sebelum ini, Infantino menyifatkan kejohanan baharu itu bakal memberi impak besar kepada dunia bola sepak di rantau Asia Tenggara.

FIFA ASEAN Cup akan membabitkan 11 negara anggota di rantau ini. Ia akan memberi impak besar bukan saja di rantau Asia Tenggara tetapi juga di seluruh dunia,” katanya.

Tidak diketahui bila saingan FIFA ASEAN Cup akan berlangsung. Ini kerana AFF telah mengumumkan penganjuran ASEAN Championship 2026 yang akan berlangsung pada Julai dan Ogos tahun hadapan.