Giliran Bekas Penyerang Liverpool Terlepas Kunjungan Ke Malaysia?
MakanBola
Liverpool FC

Hajat penyokong Liverpool untuk melihat bekas penyerang kelab itu, Darwin Nunez beraksi bersama Uruguay di Malaysia bakal tidak kesampaian.

Ini kerana wartawan sukan Uruguay, Santiago Acevedo melaporkan penyerang berusia 26 tahun itu antara tiga nama yang akan disisihkan Marcelo Bielsa akibat kecederaan.

Selain Nunez, bekas jurulatih Leeds United itu juga terpaksa melupakan khidmat bek tengah Atletico Madrid, Jose Maria Gimenez dan penjaga gol Internacional, Sergio Rochet kerana sebab sama.

Seorang lagi bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Manuel Ugarte juga dijangka tidak tersenarai dalam skuad La Celeste ke Malaysia. Bintang Manchester United itu dilapor tidak disenaraikan Bielsa atas sebab teknikal.

Sebaliknya, Bielsa dilaporkan akan memanggil pemain baharu seperti bek tengah Wolverhampton Wanderers, Santiago Bueno, bek kiri Celtic, Marcelo Saracchi dan penyerang NEOM SC, Luciano Rodríguez.

Seorang lagi pemain yang berpangkalan di Asia, Nahitan Nandez juga berpeluang menyertai skuad Uruguay ke Malaysia. Ini kerana beliau beraksi untuk kelab Al-Qadsiah di Arab Saudi.

Uruguay akan menentang Republik Dominika terlebih dahulu di Kuala Lumpur pada 10 September. Ini disusuli aksi menentang Uzbekistan di Melaka pada 13 September.

Seperti Uruguay, Uzbekistan juga terpaksa melupakan bek tengah muda yang beraksi untuk Manchester City, Abdukodir Khusanov. Abdukodir terpaksa disisihkan akibat kecederaan.