Giliran Brunei DPMM Uji Sabah
MakanBola
DPMMFC/SFC

Selepas Buriram United, giliran Brunei DPMM FC pula menguji Sabah FC sebagai lawan pra-musim mereka.

Ini selepas Sabah mengumumkan aksi persahabatan pra-musim antara kedua-dua pasukan itu yang akan berlangsung pada 26 Julai ini.

Aksi ini bukan saja membantu kedua-dua pasukan memantapkan keserasian pemain. Malah, ini dilihat mampu merangsang semangat penyokong untuk aksi setempat Borneo itu.

Perlawanan ini akan berlangsung di Stadium Likas dan bermula pada jam 8.00 malam. Berbeza dengan aksi menentang Kasuka FC yang merupakan aksi persahabatan tertutup, aksi ini boleh dihadiri penyokong kedua-dua pasukan.

Penyokong Sabah dan DPMM yang ingin mendapatkan tiket secara fizikal boleh melakukannya pada hari perlawanan di Stadium Likas.

DPMM dijangka menurunkan barisan terkuat mereka bagi menghadapi cabaran anak buah Martin Stano. Antara pemain yang dijangka diturunkan ialah Syafiq Ahmad.

Perpindahan bekas penyerang kebangsaan itu diumumkan pengurusan DPMM baru-baru ini. Beliau menjadi pemain tempatan ketiga menyertai kelab itu selepas Tommy Mawat Bada dan Fairuz Zakaria.