Selepas Norway, giliran Itali pula buat Israel hampa di pentas kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Eropah.
Ini selepas Itali meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas rejim di Stadio Friuli dalam aksi terbaru Kumpulan I.
Selepas dibelasah Norway 5-0, Israel perlu menang ke atas Azzurri seandainya mahu layak menerusi penentuan play-off. Itali pula mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Estonia 3-1.
Penyerang Al-Qadsiah, Mateo Retegui menjadi sandaran gol pengendali Itali, Gennaro Gattuso. Pemain sayap Villarreal, Manor Solomon membawa ancaman Israel dari bahagian sayap.
Meskipun beraksi di gelanggang sendiri, Itali terpaksa menunggu sehingga minit akhir babak pertama untuk membuka tirai jaringan menerusi Retegui.
Bersambung pada separuh masa kedua, Israel melakukan beberapa pertukaran dengan harapan dapat menyekat momentum Itali meraih gol kedua.
Malangnya, apa yang dihajatkan jurulatih mereka, Ram Ben Shimon tidak berlaku. Retegui sekali lagi merobek gawang Israel pada minit ke-74.
Bek tengah AS Roma, Gianluca Mancini memastikan kemenangan milik tuan rumah dengan gol ketiga pada minit akhir babak kedua.
Keputusan ini menyaksikan Itali terus mengekori pendahulu kumpulan, Norway dengan 15 mata. Israel pula kekal di tangga ketiga kumpulan dengan sembilan mata.
Keputusan ini menyaksikan Israel secara rasmi gagal layak ke Piala Dunia 2026. Retegui dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 9.3.
Selepas ini, Itali akan menentang Moldova pada 14 November. Israel pula akan melengkapkan jadual kumpulan dengan menentang Moldova pada 17 November.