Giliran Rodrigo Holgado Ditamatkan Kontrak?
MakanBola
America de Cali

Selepas Gabriel Palmero, giliran Rodrigo Holgado pula dilaporkan ditamatkan kontrak oleh kelabnya, America de Cali.

Portal El Deportivo melaporkan Los Diablos Rojos mengambil langkah tersebut selepas FIFA menolak rayuan FAM dan tujuh pemain negara termasuk Holgado.

Selepas mengetahui keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA, America de Cali memulakan langkah menamatkan kontrak beliau yang berbaki setahun.

Proses penamatan kontrak difahamkan berlaku pada 11 November lalu. Proses tersebut dilaporkan berjalan lancar dengan kedua-dua pihak memahami situasi yang berlaku.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada America de Cali berhubung tindakan penamatan kontrak tersebut.

Sekiranya proses ini benar-benar berlaku, maka Holgado menjadi pemain kedua negara yang ditamatkan kontrak selepas Palmero.

Harapan penyerang berusia 31 tahun itu untuk beraksi semula kini bergantung kepada rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Seandainya rayuan FAM dan tujuh pemain negara diterima CAS, ini membuka ruang kepada kelab lamanya dari Chile, Coquimbo Equido untuk mendapatkan khidmat Holgado.