Pemain sayap Harimau Malaya, Imanol Machuca meneruskan rentak cemerlang apabila membantu Velez Sarsfield memenangi aksi pembukaan Tourneo Clausura.
Selepas membantu El Fortin muncul juara Supercopa Internacional, Machuca semakin bersemangat membantu kelab itu menentang Club Atletico Tigre.
Ini terbukti apabila kelincahan pemain sayap berusia 25 tahun itu sukar dikawal barisan pertahanan Tigre.
Pada satu ketika, Machuca berjaya melepasi kawalan dua pemain Tigre sekaligus memukau penyokong El Fortin yang hadir.
Velez kemudiannya mendahului menerusi Tomas Galvan pada minit ke-45. Galvan pantas menyudahkan hantaran Machuca yang menewaskan penjaga gol Tigre, Felipe Zenobio.
Machuca memastikan Velez mendahului 2-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit akhir separuh masa pertama.
Tigre cuba bangkit pada separuh masa kedua. Malangnya, mereka dipaksa bermain dengan 10 pemain apabila Ramon Arias dilayangkan kad merah.
Tigre berjaya merapatkan jurang menerusi penalti Diego Sosa pada minit ke-85. Walau bagaimanapun, itu sudah terlambat untuk menghalang kemenangan El Fortin.
Impak Machuca turut diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 8.2, 0.6 mata di hadapan pemain tengah Tigre, Santiago Gonzalez.
Selepas ini, Machuca dan Velez mengalihkan fokus kepada aksi menentang Platense pada 20 Julai ini.