Jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil melihat semangat perjuangan para pemain beliau dimusnahkan oleh jaringan ke-3 Selangor ketika aksi Liga Super pada Rabu.
Selangor dan PDRM turun berentap di Stadium MP Selayang dalam perlawanan minggu ke-13 Liga Super dengan Gergasi Merah hadir membawa misi untuk meraih 3 mata dari laman lawan.
Misi tersebut berjaya direalisasikan dengan kemenangan 3-1 meskipun pada satu ketika, PDRM memberi tentangan sengit apabila berjaya merapatkan jurang hasil jaringan Fakrul Amin.
Walau bagaimanapun, jaringan ke-3 oleh Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-67 mengesahkan kemenangan berharga untuk Selangor selain dua gol yang sempat disumbangkan Chrigor Moraes.
Eddy Gapil sebagai jurulatih PDRM merasakan jaringan Noor Al-Rawabdeh tersebut dimanfaatkan hasil kesilapan individu anak-anak didiknya sehingga mematikan perjuangan mereka.
”Apa yang sering kali saya ingatkan untuk pemain-pemain adalah kesilapan dan kecuaian individu yang menghukum kita (PDRM).”
”Kalau kita lihat terutamanya gol ke-3 (Selangor) berlaku begitu mudah dan saya rasa itu membunuh semangat perjuangan kita,” jelas Eddy Gapil ketika ditemui selepas perlawanan.
Sungguhpun begitu, beliau menghargai usaha dan komitmen yang diberikan oleh pemain-pemain hingga mampu memberi cabaran sengit meskipun dilanda isu di luar padang ketika ini.
“Secara keseluruhan, saya boleh simpulkan pemain-pemain PDRM memberikan (komitmen) 100% apa yang mereka ada.”
”Saya perlu memberikan pujian buat pemain-pemain tatkala berdepan isu di luar padang yang berlaku.”
”Ya, keputusan tidak memihak kepada kita (PDRM) tetapi setidaknya kita berjaya memberi saingan yang sengit buat Selangor malam ini (Rabu),” tambah beliau.
Keputusan di Stadium Selayang ini telah menyaksikan PDRM mengakhiri tahun 2025 dengan penuh duka apabila berada di tangga tercorot Liga Super dengan 7 kekalahan berturut-turut.
Malah, The Cops turut dilaporkan terpalit dengan isu luar di padang membabitkan tunggakan pembayaran gaji sehingga menjejaskan prestasi pemain dan pasukan pada musim ini.