Perancang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Teto Martin mencuri perhatian penyokong apabila mencetak dua gol jarak jauh ketika menewaskan Melaka pada Jumaat.
Nama Teto Martin menjadi pilihan jurulatih JDT, Xisco Munoz untuk menggantikan Arif Aiman yang mengalami kecederaan pada aksi Liga Super bertemu Melaka di gelanggang sendiri.
Kepercayaan yang diberikan kepada perancang berusia 24 tahun ini dibalas dengan baik selepas Teto Martin berhasil mencetak dua jaringan untuk membantu JDT memungut 3 mata.
Menariknya, dua gol yang dijaringkan oleh bekas pemain CD Tenerife ini terhasil menerusi voli dari luar kotak penalti yang terus menerjah ke jaring dan menewaskan penjaga gawang Melaka, Haziq Aiman.
Lebih manis, jaringan pada minit ke-50 dan 66 ini adalah gol pertama serta kedua Teto Martin dalam saingan Liga Super musim ini selepas menyertai JDT pada 29 Julai lalu dari CD Tenerife.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan besar 7-1 memihak JDT dengan Bergson, Heberty serta Jonathan Silva turut melakar nama selaku penjaring buat juara bertahan Liga Super itu.
Sementara, Azim Rahim berjaya menyumbang gol saguhati untuk Melaka pada minit ke-86 dengan satu jaringan cantik dari tengah padang yang memerangkap penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.