Johor Motorsports Racing (JMR) menamatkan kempen GT World Challenge Asia musim 2025 di tangga ketiga keseluruhan.
Ini selepas YAM Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri ibni Sultan Ibrahim menamatkan perlumbaan kedua kejohanan itu di tempat kedua yang berlangsung di Beijing, China.
Meskipun berjaya meraih podium dalam perlumbaan itu, itu tidak cukup buat Tunku Abdul Rahman untuk memintas juara keseluruhan dari pasukan Origine Motorsport, Bob Yuan dan Leo Ye.
Duo berkenaan meraih 125 mata, tiga mata di hadapan baginda yang meraih 122 mata. Meskipun berkongsi mata sama dengan Wei Lu di tempat kedua, Bob dan Leo memiliki rekod lebih baik.
Kategori Pro-Am pula menyaksikan JMR terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara keseluruhan. Ini kerana Wei Lu mengumpul 154 mata, satu mata di hadapan Tunku Abdul Rahman.
Meskipun begitu, ini dilihat satu pencapaian hebat buat JMR dan jentera pilihan mereka, Chevrolet Corvette.
Ini kerana JMR menambahbaik pencapaian kedudukan keseluruhan dari tempat kelima pada 2024 kepada ketiga musim ini.
JMR turut membuktikan mereka juga mampu memberi saingan hebat dalam kategori Pro-Am.
Selepas meraih tempat keempat keseluruhan pada 2024 menerusi YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj ibni Sultan Ibrahim, JMR bergelar naib juara musim ini menerusi Tunku Abdul Rahman.