Habib Haroon Dilaporkan Bakal Kembali Ke Liga Super
MakanBola
Terengganu FC

Bekas jeneral tengah Terengganu FC, Habib Haroon dilaporkan bakal kembali mewarnai Liga Super.

Ini selepas wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan nama pemain tengah Bahrain itu kini dalam radar Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC).

“Kembali ke Pantai Timur, bekas pemain tengah Terengganu Habib Haroon difahamkan bakal perkuat Kelantan The Real Warriors,” katanya di X.

Habib ketika ini beraksi untuk kelab Bahrain SC pada tahun 2025. Sebelum ini, beliau beraksi untuk Sitra Club selepas meninggalkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Meskipun baru berusia 24 tahun, Habib kaya dengan pengalaman beraksi di Liga Super. Ini kerana beliau pernah mewakili Kedah DA dan Terengganu.

Habib merekodkan 86 penampilan, empat gol dan enam bantuan gol untuk kedua-dua pasukan itu. Beliau turut membantu Terengganu mara ke final Piala Malaysia 2023.

Sekiranya perpindahan ini berjalan lancar, Habib dijangka bergandingan dengan Albert Kang untuk mengemudi jentera tengah.